ZAYAN Santuni Jemaah Melalui Program Buka Puasa 6 Bersama FBI & Nana di Masjid Putra
PUTRAJAYA 10 APRIL 2026 – Sempena bulan Syawal yang penuh keberkatan, ZAYAN meneruskan komitmennya dalam mengimarahkan amalan Islam melalui penganjuran FnN Pagi Zayan Menyantuni Buka Puasa 6 bersama penyampai pagi popular, FBI & Nana. Program ini telah berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, dan disertai oleh kira-kira 200 orang jemaah yang bersama-sama meraikan majlis iftar serta menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Inisiatif ini selari dengan usaha ZAYAN dalam menggalakkan umat Islam menghayati keindahan puasa sunat enam di bulan Syawal, di samping memperkukuh ukhuwah serta hubungan silaturahim dalam komuniti melalui aktiviti berlandaskan nilai-nilai Islam.
Pengurus Saluran Rangkaian Melayu Astro Audio, Eman Zaki, berkata penganjuran program ini mencerminkan aspirasi ZAYAN untuk menjadi lebih daripada sekadar stesen radio, sebaliknya berfungsi sebagai platform yang menyatukan masyarakat melalui pendekatan dakwah yang inklusif dan berterusan.
“ZAYAN sentiasa tampil dengan misi mengejar keberkatan Syawal. Kami ingin mengajak umat Islam bersama-sama memahami kelebihan puasa enam yang bukan sahaja melengkapkan ganjaran seperti berpuasa setahun, malah membantu membina istiqamah dalam beribadah selepas Ramadan,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan Masjid Putra sebagai lokasi program amat bermakna memandangkan masjid tersebut aktif menganjurkan majlis berbuka puasa secara konsisten setiap Isnin dan Khamis sepanjang tahun, sejajar dengan mesej yang ingin disampaikan oleh ZAYAN dalam mempromosikan amalan puasa sunat dan ibadah berjemaah.
“Kami amat menghargai kerjasama pihak Masjid Putra dalam menjayakan program ini. Sambutan yang diterima daripada lebih 200 jemaah membuktikan bahawa budaya berbuka puasa dan beribadah secara berjemaah masih mendapat tempat dalam masyarakat,” tambahnya.
Menurut Eman lagi, penglibatan FBI & Nana menerusi jenama FnN Pagi Zayan merupakan antara pendekatan ZAYAN untuk merapatkan jurang antara personaliti radio dan pendengar, bukan sekadar melalui siaran di udara tetapi menerusi penglibatan secara langsung bersama komuniti.
“Kami mahu penyampai ZAYAN dikenali bukan hanya sebagai suara di radio, tetapi sebagai individu yang hadir menyantuni masyarakat, berkongsi rezeki dan beribadah bersama. Program ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk membina hubungan yang lebih tulen dan berpanjangan dengan pendengar,” katanya.
Beliau optimis program seumpama ini mampu menjadi pemangkin kepada semangat kebersamaan serta menggalakkan lebih ramai umat Islam untuk mengimarahkan Syawal melalui amalan yang membawa kebaikan dan keberkatan.
“Harapan kami agar usaha ini dapat memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, perpaduan serta kasih sayang dalam kalangan ummah,” ujarnya.
Penganjuran FnN Pagi Zayan Menyantuni Buka Puasa 6 ini sekali gus mengukuhkan peranan ZAYAN sebagai stesen radio yang dekat di hati pendengar dan konsisten dalam menyebarkan kandungan positif serta membina komuniti berteraskan nilai murni.
ZAYAN merupakan salah satu daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang memfokuskan kepada lagu-lagu nasyid dan ketuhanan, ZAYAN terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Dengan lebih satu juta pengikut di platform media sosial, ZAYAN mengukuhkan jenamanya sebagai Destinasi Nasyid Anda. Selain siaran radio, pendengar juga boleh mengikuti ZAYAN menerusi saluran media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi ZAYAN di App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.