Skip to main content

Gen Pagi SINAR Menyantuni Pelajar SPM Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR 31 MAC 2026 – Gen Pagi SINAR hari ini mengadakan lawatan khas ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Kuala Lumpur bagi menyantuni para pelajar yang baru menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan secara rasmi hari ini.

Seramai 10 orang pelajar dari sekolah bimbingan tersebut berjaya memperoleh sijil SPM dan lulus sepenuhnya, satu pencapaian membanggakan mengambil kira latar belakang serta cabaran kehidupan yang dihadapi oleh kebanyakan pelajar di sekolah berkenaan.

Lawatan ini diketuai oleh Gen Pagi SINAR yang terdiri daripada Sharifah Shahira, Roy Azman dan Hefny Sahad sebagai tanda sokongan moral, penghargaan dan keprihatinan terhadap usaha pelajar-pelajar ini dalam menuntut ilmu walaupun berdepan kekangan hidup.

Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, inisiatif ini selari dengan nilai teras SINAR yang menitikberatkan kepedulian sosial dan usaha memperkasakan komuniti.

“Kami hadir bukan sekadar meraikan keputusan peperiksaan, tetapi untuk menyuntik semangat, memberi keyakinan dan menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian. Kejayaan 10 orang pelajar ini membuktikan bahawa peluang, bimbingan dan sokongan mampu mengubah masa depan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan SPM ini adalah permulaan, bukan penamat perjalanan pendidikan pelajar.

“Kami berharap mereka meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi sama ada di kolej vokasional, politeknik, institusi kemahiran atau IPT. Masa depan mereka masih luas dan SINAR mahu mereka percaya pada potensi diri,” tambahnya.

Pengumuman keputusan SPM kali ini lebih bermakna kerana berlangsung pada bulan Syawal. Sehubungan itu, Gen Pagi SINAR turut menghulurkan wang raya kepada para pelajar sebagai tanda sokongan dan kegembiraan Hari Raya.

“Walaupun tidak seberapa, ia simbol kasih sayang warga SINAR agar mereka merasai kemeriahan Syawal seperti rakan-rakan lain,” ujar Zureen.

 

Image removed.

 

Lawatan ini juga membuka peluang Gen Pagi SINAR mengenali peranan penting Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih dalam menyediakan peluang kedua kepada pelajar dari latar belakang mencabar. Sekolah ini menyediakan kemudahan asrama, makanan mencukupi, persekitaran selamat serta bimbingan akademik dan sahsiah berterusan.

“Usaha pihak sekolah ini bukan sekadar mendidik akademik, tetapi membina semula harapan dan keyakinan masa depan pelajar,” katanya lagi.

Gen Pagi SINAR berharap inisiatif sebegini dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyokong institusi pendidikan dan kebajikan.

“Kami percaya setiap anak berhak berjaya. Semoga kejayaan ini menjadi langkah besar ke hadapan,” katanya mengakhiri kenyataan.

SINAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio dan terkenal dengan lagu-lagu popular era 90-an. Dengan hampir 4 juta pengikut media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik.

Orang ramai boleh mendengar SINAR melalui frekuensi radio, platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi SINAR di App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

SINAR – Muzik Retro Terbaik